5 Tips Menarik Hari Pertama Kerja

Mendapat tawaran kerja merupakan satu pengalaman yang berharga terutamanya bagi graduan lepasan universiti. Hari pertama kerja amat bermakna untuk memulakan pengalaman baru.

Perasaan gembira seterusnya akan dikongsikan dengan keluarga dan juga teman-teman rapat.

Mungkin bagi segelintir anda tertanya-tanya apakah hal penting yang perlu dilakukan semasa hari pertama anda memulakan pekerjaan.

Harus diingat bahawa hari pertama merupakan hari kritikal untuk anda mengenal selok belok keadaan sekeliling ofis.

Ia bertujuan untuk proses penerimaan rakan sekerja terhadap diri anda supaya proses kerja menjadi lebih mudah.

Percaya atau tidak, berita kedatangan anda di ofis baru mungkin sudah tersebar luas dan dinanti- nantikan oleh ramai pihak. Oleh itu, tips berikut sedikit sebanyak boleh membantu.

Jom baca 5 tips menarik hari pertama kerja:

#1. Ukirkan Senyuman

Senyuman merupakan pembuka aura positif pada diri seseorang mahupun dari konsep rezeki ataupun kesihatan.

Seperti yang diketahui, fakta mengenai senyuman terbukti dapat menaikkan mood positif dan mengurangkan stress.

Satu kajian telah membuktikan bahawa seseorang yang murah dengan senyuman lebih digemari ramai kerana wataknya yang menyenangkan. Senyum juga seperti diketahui merupakan satu sedekah.

#2. Patuh Masa dan Peraturan

Hari pertama penting bagi anda untuk menitik beratkan soal masa. Jangan sesekali datang lewat ke ofis pada hari pertama kerana ini akan memberikan tanggapan negatif orang terhadap diri anda.

Tidak rugi pun jika anda ingin datang 30 minit awal ke ofis pada hari pertama.

Malah, ia dapat mengelakkan anda terburu-buru pada hari pertama.

Elakkan dari melakukan perkara yang bertentangan dengan arahan dan peraturan yang telah ditetapkan

#3. Berkenalan dan Bergaul Mesra

Mengenali rakan ofis anda merupakan satu kunci penting kerana melalui proses perkenalan, anda boleh mendapatkan pelbagai info yang berkaitan dengan mudah.

Melalui pemerhatian, terdapat segelintir graduan lepasan universiti lebih memilih sikap berdiam dan anti-sosial di tempat kerja.

Dengan adanya aplikasi Whatsapp, majikan dapat menjemput (invite) pekerja baru untuk sertai group Whatsapp ofis. Melalui cara ini, komunikasi dapat dimulakan walaupun secara dalam talian.

Bila sampai waktu makan tengah hari, pastikan anda menjawab “ya” jika anda diajak makan tengah hari bersama.

Jika tidak, rajin-rajinkanlah diri untuk bertanya di mana lokasi makan tengah hari dan ajak makan tengah hari bersama.

Elak jadi ‘kera sumbang’ dengan tidak bergaul sesama rakan sekerja kerana lambat laun anda akan perlukan pertolongan mereka untuk kerja-kerja pejabat.

Dapatkan seberapa ramai rakan pada hari pertama kerja anda. Lebih ramai, anda akan rasa lebih seronok dan cepat menyesuaikan diri (settle down).

#4. Rajinkan Diri untuk Bertanya

hari-pertama-kerja

Amalan rajin bertanya amatlah wajar jika anda berada di suatu tempat yang baru supaya kita dapat belajar selok-belok kerja dan pejabat.

Jangan sesekali malu bertanya jika anda tidak pasti dengan sesuatu hal yang berkaitan kerja anda.

Daripada melakukan kesalahan kerana tidak bertanya, lebih baik mencegahnya dengan bertanya.

Bak kata pepatah, ‘malu bertanya sesat jalan’.

Tidak ada orang yang akan marah jika anda kerap bertanya kerana rakan sekerja sangat faham, anda orang baru dan perlukan lebih informasi di tempat kerja baru.

5) Mengambil Salinan Nombor Telefon Rakan Ofis

Tips ke lima ini penting jika terdapat hal-hal kecemasan sebagai contoh, keesokan harinya anda mengalami kemalangan kecil atau hal-hal kecemasan yang lain, anda perlu memberi tahu rakan ofis supaya mereka tahu keadaaan dan situasi anda.

Dengan menyimpan nombor telefon rakan akan memudahkan anda untuk menghubungi mereka jika ada sebarang masalah.

Paling penting nombor telefon ketua jabatan atau bos anda.

Sudah yakin untuk menghadapi hari pertama anda bekerja?

Kongsikan tips ini kepada keluarga atau teman-teman anda agar lebih yakin diri pada hari pertama kerja dan sukses seperti anda.

Artikel Oleh: Kumako

Kredit gambar: coolawesome.com,

  • temuduga kerja
  • Nama Anda

    Alamat Email

One thought on “5 Tips Menarik Hari Pertama Kerja

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge