Cara Membuat Tuntutan Kemalangan Perkeso

Malang Tidak Berbau.

Itu pepatah paling kerap digunakan ketika seseorang mengalami kemalangan. Apa sahaja kemalangan sama ada kecelakaan di jalan raya atau di tempat kerja.

Sebagai seorang pekerja, kita sedia maklum terdapat satu organisasi kerajaan yang menyelaras tuntutan kemalangan iaitu PERKESO.

PERKESO adalah singkatan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial. Ada juga orang sebut SOCSO (Social Security Organization). Ditubuhkan sejak 1971 dan sudah berjasa kepada pekerja di Malaysia lebih 40 tahun.

Sesuai dengan namanya dalam memberi keselamatan kepada pekerja Malaysia, PERKESO mempunyai satu tujuan khas iaitu;

Menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada semua pekerja dan tanggungan mereka menerusi skim-skim keselamatan sosial berasaskan konsep masyarakat penyayang selaras dengan Dasar Pembangunan Negara dan Wawasan 2020.

Selain insuran nyawa dan faedah perubatan dari syarikat, PERKESO juga memberi bantuan dari segi

Ada tujuan (3) skim utama wujudnya PERKESO iaitu untuk:

  1. Skim Bencana Pekerjaan – perlindungan dalam perjalanan ke tempat kerja
  2. Skim Keilatan – perlindungan 24 jam hilang upaya dan keuzuran yang tidak boleh diubati atas sebarang sebab atau tidak boleh mencari nafkah
  3. Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri – perlindungan untuk mereka yang bekerja sendiri atau pemandu teksi.

Ringkasnya, perlindungan PERKESO ini menyeluruh tidak kira waktu dan ketika. Perlindungan dikira bermula dari bermula ke tempat kerja, di tempat kerja dan sewaktu pulang dari kerja.

Faedah pampasan dikira berdasarkan kepada nilai caruman dan gaji pencarum.

Semakin tinggi nilai caruman bulanan dan gaji seseorang pencarum maka semakin banyak nilai pampasan diterima.

Semua pekerja wajib mencarum bersama PERKESO. Biasanya melalui potongan gaji. Menjadi kesalahan kepada majikan jika tidak mencarum. Anda perlu perhatikan pada slip gaji maklumat caruman PERKESO. Pastikan tertulis ada potongan dengan PERKESO.

Jika kurang yakin, boleh buat semakan caruman PERKESO di pautan eSemak PERKESO.

Semua orang tidak mahu terlibat dalam kemalangan. Namun, takdir menentukan kita mungkin berdepan dengan musibah di jalan raya.

Apa perlu anda lakukan? Jom baca perkongsiaan kami mengenai cara membuat tuntutan kemalangan PERKESO:

#1. Laporkan kepada Majikan/Syarikat

tuntutan kemalangan sosco

Selepas berlakunya kemalangan, perkara penting perlu dilakukan oleh pekerja adalah memaklumkan atau memberitahu majikan.

Biasanya kepada ketua jabatan dan juga jabatan sumber manusia (Human Resources). Pihak syarikat sudah bersedia untuk membantu para pekerja walaupun di luar waktu bekerja.

Jika rakan yang membantu sewaktu kemalangan, mohon kepada rakan untuk mewakili pihak anda.

Perlu maklumkan dengan kadar segera supaya majikan dapat bertindak segera melaporkan kepada PERKESO

#2. Buat Laporan Polis

Satu perkara yang sangat sah untuk sebarang tindakan adalah laporan polis. Tidak perlu tunggu benar-benar sihat untuk buat laporan polis. Lebih cepat dilaporkan, lebih pantas pihak PERKESO membantu anda.

Namun jika kemalangan, anda dirawat di hospital, bagaimana untuk membuat laporan polis?

Berdasarkan pengalaman rakan penulis yang terlibat dengan kemalangan, laporan polis dibuat selepas beliau dibenarkan keluar dari hospital. Kira-kira 2 minggu selepas kemalangan.

#3. Majikan mengisi borang Laporan Kemalangan

Jika kemalangan di tempat kerja, Majikan akan sertakan dengan dokumen lain seperti rekod kehadiran (punch card, attendance card), sijil cuti sakit (MC) dan kad pengenalan.

Sekiranya kemalangan selepas waktu kerja, majikan perlu menyerahkan laporan polis serta lakaran peta perjalanan pulang kepada pihak PERKESO.

Semua maklumat ini diisi di dalam Borang 34 – Borang Butiran Notis dan Tuntutan Faedah.

#4. Bayaran daripada pihak PERKESO

Manfaat perlindungan yang diterima adalah dalam bentuk wang ringgit. Menurut pengalaman rakan penulis, pihak PERKESO menyediakan cek kepada beliau.

Pengiraan bayaran dikira berdasarkan:

  1. Jumlah cuti sakit diterima (MC)
  2. Bayaran bil hospital
  3. Bayaran hilang upaya/cacat kekal

Contohnya jika cuti sakit selama 30 hari, PERKESO akan bayar anda untuk 30 hari. Bayaran mengikut caruman gaji semasa.

Cacat atau hilang upaya kekal bukan semata-mata tidak boleh berfungsi seperti normal.

Contohnya jika pekerja mengalami patah bahu tetapi hanya pulih 70% sahaja dan berada dalam keadaan normal, selebihnya baki 30% kecacatan dikira kekal dan PERKESO akan membayar baki tersebut.

Ringkasan Senarai Semak Tuntutan Kemalangan PERKESO:

  1. Borang – Senarai Semak Dokumen Tuntutan Faedah Hilang Upaya Sementara
  2. Sijil Cuti Sakit Asal / Salinan Sijil Cuti Sakit
  3. Salinan Kad Pengenalan
  4. Salinan Rekod Kedatangan / Kad Perakam Waktu(Punch Kad). Perlu disahkan oleh majikan
  5. Laporan Polis Asal/Salinan Laporan Polis
  6. Peta Lakaran Kemalangan ( tempat mula perjalanan –> laluan yang diikuti –> tempat kemalangan –>tempat yang dituju)

Maklumat lanjut mengenai tuntutan kemalangan PERKESO, undang-undang dan semakan caruman, anda boleh layari laman web PERKESO.

Jika anda ada pengalaman membuat tuntutan kemalangan PERKESO, jom kongsikan bersama pembaca di ruangan komen di bawah.

Artikel oleh: MZ ISMAIL

Kredit gambar: merdeka-online.com, elliott.org

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge