Meniti Saat-Saat Akhir di Tempat Kerja. Apa Boleh Dilakukan?

Setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Banyak sebab mengapa seseorang itu menukar kerjanya. Apabila ini berlaku, sudah pasti saat perpisahan itu akan terjadi.

Sedih, terharu, gembira dan teruja. Semua emosi bercampur-baur. Namun itulah yang berlaku pada saat akhri di tempat kerja anda.

Mengikut survey oleh Hays melalui 2017 Hays Asia Salary Guide, 61% pekerja Malaysia pada tahun 2017 bercadang untuk bertukar kerja untuk memperoleh lebih gaji dan faedah lain.

Sementara 46% pekerja pula menginginkan peningkatan gaji antara 4% hingga 6% tahun ini.

Jadi ada banyak faktor seseorang terus mencari kerja yang terbaik untuk menyara kehidupan diri dan keluarga.

Setelah mendapat tawaran kerja di tempat yang baru, kita harus memikirkan prosedur untuk meninggalkan kerja yang lama ini.

Kebiasaannya semua syarikat baik kerajaan mahupun swasta ada menggariskan panduan untuk seseorang itu berhenti kerja.

Namun begitu garis panduan itu tidak banyak bezanya dari satu syarikat dengan syarikat yang lain.

Jom kita baca apa yang boleh dilakukan pada saat-saat akhir di tempat kerja:

#1. Menyatakan Hasrat untuk Berhenti – Secara Formal

Ini boleh dilakukan dengan menulis dan menghantar emel kepada bos atau ketua anda. Di dalam emel itu nyatakan secara ringkas hasrat anda untuk berhenti kerja.

Ucapkan juga terima kasih kepada bos anda di atas segala tunjuk ajar dan kerjasama yang diberikan selama tempoh anda bekerja dengan beliau.

Elakkan dari sebarang kontroversi; jangan sesekali memaki hamun bos anda mahupun rakan sekerja anda.

Sekalipun tujuan utama anda berhenti kerana tidak puas hati dengan mereka, kalau boleh elakkan dari meluahkannya dalam emel ini.

#2. Mengisi Borang Berhenti

Kebiasaannya borang ini boleh didapati dengan petugas bahagian Sumber Manusia. Boleh didapatkan samada menerusi emel atau berurusan secara terus dengan mereka.

Isi borang berhenti kerja tersebut dan kepilkan bersama maklumat yang diinginkan.

#3. Mengisi Borang Serahan Barang (jika ada)

Bagi mereka yang mendapat barang pinjaman daripada syarikat, anda dikehendaki untuk memulangkan kembali barang tersebut sebelum berhenti.

Sepatutnya anda boleh memulangkan barang tersebut pada orang yang sama. Dapatkan borang tersebut daripada beliau dan isi.

Pada tarikh yang ditetapkan, pulangkan borang beserta dengan barangan serahan tersebut. Pastikan anda menerima slip pengesahan penerimaan.

Antara barangan yang dipinjamkan kepada staff semasa berkhidmat adalah komputer peribadi.

Data-data syarikat perlu diserahkan semula kepada pihak berkaitan. Ini supaya kita tidak terambil data peribadi untuk tujuan yang tidak baik.

#4. Menghadiri Sesi Temuduga untuk Keluar

Jangan terkejut sekiranya anda dipanggil oleh Jabatan Sumber Manusia sekali lagi untuk sesi temuduga. Sesi ini hanya untuk mendapatkan maklum balas daripada anda.

Antara soalan popular seperti; mengapa anda berhenti kerja, adakah anda menghadapi masalah dengan rakan sekerja atau pihak pengurusan, dan sebagainya.

Sesi ini juga bukanlah wajib pun tapi amat bagus untuk dihadiri.

Bermula Dengan Baik, Berhenti juga Dengan Baik

maaf-berhenti-kerja

Akhirnya, apabila tarikh akhir sudah ditetapkan, jalani kehidupan kerja seperti biasa. Anda mungkin akan dikecualikan dari mengendalikan projek dan kerja baru; ini yang sebaiknya.

Masa yang tersisa ini elok digunakan untuk sesi pemindahan kerja dengan pengganti anda.

Jadikan waktu ini masa untuk menyiapkan segala kerja yang berbaki.

Cuba target untuk menyelesaikan kerja anda sebanyak yang mungkin agar pengganti anda kelak tidak mengalami kesulitan untuk meneruskan kerja tersebut.

Selain itu, fokus pada mendokumentasikan segala maklumat yang difikirkan sesuai. Ini supaya pengganti anda kelak tidak terkapai-kapai tanpa hala.

Cuba bayangkan kalau anda di tempat beliau, pasti anda pun benci akan situasi ini bukan?

Akhiri dengan Bermaaf-Maafan

Apabila sampai ke hari terakhir bekerja, luangkan masa untuk berjumpa dengan seluruh warga kerja syarikat tersebut.

Paling kurang pun, sesama jabatan / departmen. Minta maaf dengan mereka serta berilah ucapan yang baik untuk semua.

Berjumpalah dengan bos anda buat kali terakhir dan luangkan masa untuk bermaaf-maafan serta berkongsi pendapat sekiranya perlu.

Jadikan hari terakhir anda di tempat kerja sebagai kenangan terindah yang boleh dikenang sepanjang hayat.

Artikel oleh: LH Suhaimi

Kredit gambar: quantumascendance.com, caughtoffside.com

2 thoughts on “Meniti Saat-Saat Akhir di Tempat Kerja. Apa Boleh Dilakukan?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge