Resume adalah cerminan kepada diri. Di sinilah peluang anda menarik minat sang penemuramah tanpa bersua muka.
Boleh dikatakan hampir semua jenis pekerjaan yang kita pohon perlukan resume.
Apakah cara yang efektif untuk menarik para penemuduga untuk memanggil anda ke peringkat seterusnya?
Sama-sama kita baca di bawah.
#1. Isi Kandungan yang Mantap
Resume yang berkesan adalah resume yang padat dengan isi. Bukan sebarang isi, tapi isi kandungan yang bernilai tinggi di mata penemuramah.
Setiap jawatan kekosongan yang diiklankan mempunyai kriteria orang yang mereka cari.
Sebagai contoh – umur 18 tahun ke atas, sihat tubuh badan, mahir menggunakan Excel, dan sebagainya.
Setiap bidang kerjaya mempunyai kriteria yang tertentu. Bidang kewartawanan memerlukan pekerja yang berpengetahuan dalam bidang penulisan misalnya.
Jadi, untuk mendapatkan kerja dalam bidang yang diingini kita harus memenuhi sebanyak mungkin kriteria yang dicatatkan dalam iklan tersebut.
Juga, kita harus mempunyai kriteria yang relevan. Masukkan semua itu di dalam resume anda.
#2. Cara Menulis Resume
Sekarang kita sudah punyai isi untuk resume, tetapi bukan sekadar itu sahaja. Perlu ada cara persembahan.
Isi yang padat tiada gunanya kalau dipersembahkan secara cacamarba. Berikut adalah contoh ciri-ciri yang perlu ada pada resume:
i. Tulisan (font) dan Jelas
Ada pelbagai jenis font yang boleh kita pilih dari Microsoft Word. Secara peribadi penulis mencadangkan font jenis ‘Arial’ bersaiz 10 – 12.
Namun begitu anda bebas memilih font yang anda suka asalkan mudah dibaca dan tidak terlalu ranggi supaya pihak rekruiter tidak beranggapan yang bukan-bukan tentang anda.
ii. Ayat Ringkas dan Mudah Dibaca
Gaya bahasa yang mudah dan tidak terlalu panjang adalah digalakkan.
Jangan sesekali menulis seperti menulis karangan. Pening hendak membacanya.
Lagipun anda berpeluang untuk menerangkan lebih lanjut tentang diri anda sewaktu temuduga kelak.
iii. Seksyen Dibahagikan Dengan Jelas dan Berstruktur
Seeloknya sesuatu resume itu dibahagikan mengikut topik atau seksyen yang teratur untuk memudahkan rujukan.
Misalnya anda kumpulkan pencapaian akademik, pengalaman kerja dalam seksyen berlainan.
Dengan itu mudah untuk sang penemuduga mendapatkan info yang diingini.
Bukan itu sahaja, ia memudahkan anda untuk menyemak / menambah maklumat pada resume anda tanpa perlu merombak keseluruhan resume itu.
Untuk makluman lanjut boleh layari laman web di bawah untuk sample resume yang dicadangkan. Klik Sample Resume.
#3. Menghantar Resume
Tibalah masa untuk memohon kerja yang diingini.
Kebiasaannya ada tiga cara memohon kerja yang popular seperti melalui emel, pendepositan resume dan akhir sekali di portal kerja.
Cara pertama dan ketiga itu hampir sama di mana resume anda tidak perlu dicetak.
Hanya perlu kepilkan bersama permohonan kerja.
Untuk itu anda perlu menulis sedikit kata-kata aluan ringkas untuk menyatakan tujuan anda dan ekspektasi.
Contoh seperti di bawah:
************************************************
Salam sejahtera En Ali,
Pertama sekali saya ucapkan jutaan terima kasih di atas kesudian tuan membaca emel ini.
Saya Abu Bakar. Tujuan saya menulis ini adalah untuk memohon kerja sebagai penulis novel di syarikat tuan.
Bersama ini saya sertakan resume saya untuk rujukan pihak tuan.
Diharap agar pihak tuan boleh memberikan pertimbangan yang sewajarnya.
Saya ucapkan berbanyak terima kasih sekali lagi,
Yang benar,
Abu Bakar
**************************************************
Ulang baca beberapa kali sehingga anda berpuas hati dengan emel tersebut dan resume anda.
Gunakan email professional (abubakar@gmail.com) berbanding emel peribadi (abuishere123@gmail.com) kerana ia menampakkan keseriusan anda di mata penemuduga.
Kesimpulannya, resume yang baik berpeluang tinggi untuk menarik perhatian orang. Akhir kata saya doakan agar para pembaca semua mendapat kerja yang diingini.
LH Suhaimi
Kredit gambar: Instajobguide.com, munplanet.com
[…] mereka meneliti, menilai dan membaca resume yang meyakinkan dari anda, majikan telah bersedia untuk […]