Press "Enter" to skip to content

8 Perkara yang Perlu Dipertimbangkan Sebelum Terima Tawaran Kerja

Kongsikan Bersama Rakan

Setelah menghadiri banyak panggilan temuduga dan berjaya, lepasan universiti atau siswazah akan menerima tawaran kerja. Perasaan mendapat tawaran kerja tidak dapat dibayangkan.

Seronok. Teruja. Bersemangat.

terima-tawaran-kerja

Namun, anda pasti pernah mengalami situasi di mana sukar untuk membuat pilihan sama ada menerima atau menolak tawaran bekerja tersebut.

Membuat keputusan terbaik dapat membantu memudahkan perjalanan kerjaya anda kelak di syarikat baru. Oleh itu, kami sedia berkongsi pengalaman yang ada.

Baiklah, jom kita baca 10 perkara yang anda perlu ambil kira sebelum terima tawaran kerja:

#1. Gaji Bulanan

Mungkin perkara ini kurang dititikberatkan bagi siswazah yang baru memulakan kerjaya. Asalkan ada gaji sudah memadai. Jangan begitu, banyak perkara perlu dipertimbangkan.

Bagi memastikan tidak rasa seperti hamba yang bekerja di samping tidak dibayar dengan gaji setimpal, anda harus membuat sedikit semakan gaji yang ditawarkan dengan pendirian professional kerja yang anda akan hasilkan.

Gaji yang berpatutan akan membantu anda untuk lebih produktif dalam melakukan kerja yang di tugaskan.

Pada permulaan gaji diterima, kita akan lihat jumlah wang yang sangat banyak. Namun, dalam masa beberapa hari wang tersebut akan mula susut dek kerana perkara-perkara dikategorikan ‘wajib bayar’ seperti:

  1. Pinjaman pendidikan (PTPN/MARA)
  2. Pinjaman kereta (belum kerja sudah ada kereta)
  3. Duit simpanan (Tabung Haji, ASB, Pelaburan)
  4. Bil utiliti rumah (telefon, internet, elektrik)
  5. Sewa rumah (jika masih menyewa)

Jika diperhatikan daripada senarai di atas, jumlah gaji yang diterima akan lebih separuh (50% ke atas) dihabiskan untuk membayar komitmen wajib bayar.

Jadi, amat penting untuk melihat jumlah gaji diterima agar berbaloi supaya kita tidak “tercekik” di tengah bulan sebelum terima gaji bulan berikutnya.

#2. Skop Kerja

Semasa menerima tawaran kerja, kita perlu jelas skop keja (job description).

Kenal pasti apa yang akan dibuat apabila melangkah masuk ketika mula berkerja. Ini penting supaya anda tidak rasa tertipu atau tidak bersedia untk melakukan kerja yang sudah ditetapkan.

Contohnya, jika skop kerja anda adalah membaiki dan membaikpulih komputer, maka sebagai seorang yang berkelulusan komputer pasti yakin menerima tugasan tersebut.

Menjadi kesukaran kepada anda jika ditawarkan kerja sebagai pembantu akauntan walaupun pada dasarnya masih menggunakan komputer untuk menjalankan tugasan.

Kemahiran seorang professional teknologi maklumat sangat berbeza dengan akauntan (walaupun sekadar pembantu).

Jika benar anda berminat untuk belajar dan menerima cabaran walaupun berlainan skop kelulusan, maka dipersilakan. Pastikan hati gembira melakukan kerja yang diberi.

Ramai sudah yang berjaya buktikan mereka berjaya walaupun berlainan bidang kemahiran.

Ringkasnya, kena bersedia dan faham jenis tugasan yang anda akan lakukan nanti.

#3. Kemudahan untuk Pekerja

Selain gaji, faedah daripada syarikat yang ditawarkan kepada bakal pekerja memang menjadi perhatian.

Perkara ini penting untuk anda pertimbangkan sebagai sokongan selain daripada menerima faedah gaji setiap bulan.

Antara faedah yang popular seperti:

3.1 Faedah Perubatan

Lebih tinggi lebih bagus.

Jika merangkumi ahli keluarga, rawatan pesakit luar dan dalam, maka kecenderungan untuk terima tawaran kerja menjadi lebih kuat. Faedah kesihatan adalah antara perkara utama yang perlu dinilai, ini penting bagi menampung kos yang tinggi rawatan dan ubat.

3.2 Elaun Rumah

Jika mampu untuk tampung sewa atau ansuran bulanan sudah memadai.

3.3 Elaun Pengangkutan

Sangat menjimatkan petrol kenderaan. Tidak semua syarikat ada. Jika ada, tahniah!

3.4 Elaun Telefon

Boleh menampung kos top-up atau bil telefon bulanan.

Walaupun gaji asas mungkin kecil atau gaji minimum pekerja Malaysia tetapi disebabkan oleh jumlah elaun yang banyak, jumlah keseluruhan gaji bulanan akan menjadi lebih tinggi. Sangat menarik pakej gaji dan elaun ini.

#4. Status Pekerjaan

Status Tetap? Kontrak? Pekerja pinjaman dari agensi?

Tidak ada masalah untuk pekerja berstatus tetap kerana sudah terjamin pekerjaan di syarikat anda bekerja.

Sebelum diserap kepada status tetap, syarikat biasanya akan memberi tempoh percubaan (probation) antara 3 hingga 6 bulan.

Jika prestasi baik, akan diserapkan kepada status tetap. Peluang begini jangan dilepaskan. Bekerja sebaik mungkin, penuh dedikasi kerana ini ‘periuk nasi’ kita. Masa depan kita.

Ada sesetengah syarikat menawarkan status kontrak antaranya seperti 2 tahun. Status begini sangat dibimbangi oleh lepasan universiti atau siswazah kerana kerjaya anda tidak terjamin.

Tempoh 2 tahun sangatlah singkat dan selepas waktu tersebut, jika tidak disambung anda perlu mencari kerja baru.

Sebaiknya 2 ke 3 bulan sebelum tamat kontrak (jika sah tidak disambung), carilah peluang kerja baru.

Bak kata pepatah, “sediakan payung sebelum hujan. Sediakan pelampung sebelum tenggelam.”

Bagi yang berstatus kontrak dan pekerja pinjaman, anda perlu melihat kontrak yang dipersetujui.

Nilai sama ada anda mempunyai peluang untuk terus berkhidmat di syarikat tersebut atau tidak untuk sesuatu tempoh yang telah ditetapkan.

#4. Lokasi Tempat Kerja

Lokasi juga memainkan peranan yang penting, mari kita lihat dari sudut jarak tempat kerja dengan tempat tinggal.

Ada beberapa kos atau perbelanjaan yang perlu diambil kira seperti minyak petrol dan kos penyelanggaraan untuk kenderaan harian anda.

Lebih jauh jarak rumah dengan tempat kerja, lebih tinggi perbelanjaan bulanan yang akan dikeluarkan. Semua orang bersetuju dengan pernyataan ini.

Contohnya, jika anda menunggang motosikal dengan jarak 30km dari rumah ke tempat kerja (sehala). Jenis motosikal bawah 150cc. Kos petrol yang perlu dikeluarkan adalah RM1.50.

Pengiraan jika sehari pergi dan balik ialah RM3.

Sebulan 20 hari bekerja, jadi RM60.

bawa-motosikal-tempat-kerja

kredit gambar: www.magacin.dk

Kos ini akan bertambah jika jarak lebih jauh dan anda menggunakan kereta ke tempat kerja.

Kos tambahan lain jika menaiki kereta adalah tol dan parking.

Anda tidak dapat lari daripada 2 perkara ini lebih-lebih lagi bekerja di pusat bandar seperti Kuala Lumpur, Shah Alam, Pulau Pinang atau Johor Baharu.

Lokasi tempat kerja yang jauh ditambah dengan kesesakan kenderaan di jalan raya menyebabkan ramai antara kita terutamanya lelaki lebih gemar menggunakan motosikal berbanding kereta.

Lebih jimat dan cepat sampai!

#5. Peningkatan Kerjaya

Objektif atau tujuan utama laman web SmartKerjaya.com adalah untuk berkongsi ilmu mengenai peningkatan kerjaya.

Tidak ada orang yang bekerja mahu kekal di takuk sama tanpa peningkatan ke kedudukan lebih tinggi. Meningkat dari segi pangkat, gaji dan tanggungjawab.

Sebelum terima tawaran kerja, buat rancangan untuk 5 tahun akan datang. Ini penting untuk anda fikirkan.

Jika kerja yang bakal diterima tidak menunjukkan dengan jelas matlamat 5 tahun akan datang, sebaiknya perlu dielakkan kerana anda akan kerugian masa dan tenaga.

Namun, peningkatan kerjaya di sesebuah syarikat dengan syarikat yang lain adalah berbeza.

Ada sepantas dua ke tiga tahun sudah naik pangkat. Biasanya jika syarikat kecil dan baru berkembang. Mereka yang awal dalam syarikat akan berpeluang cerah untuk naik lebih awal.

Berbeza dengan syarikat yang mempunyai organisasi yang sangat spesifik atau staff yang ramai.

Peningkatan kerjaya akan mengambil masa sehingga 5 tahun hanya untuk naik satu pangkat sahaja.

Pangkat ada kalanya lambat naik tetapi gaji setiap tahun akan naik. Jika itu berlaku sudah memadai untuk terus bersama syarikat kerana peningkatan kerjaya bukan sekadar pangkat.

Gaji yang semakin naik juga salah satu daripada peningkatan kerjaya seorang pekerja. Gaji naik boleh tingkatkan motivasi dan hilangkan stress kerja. Mengikut kajian Mercer, gaji pekerja Malaysia dianggarkan akan naik sebanyak 5.5% setahun.

gaji-naik-malaysia

Ramalan gaji untuk tahun 2017 berbanding peningkatan dari 2016 (x), mengikut industri

#6. Peluang untuk Menimba Pengalaman

Skop kerja yang banyak akan memberikan anda peluang menimpa pelbagai pengalaman. Daripada pengalaman yang biasanya tidak boleh dikutip di pusat pengajian, nilai diri akan meningkat.

Semakin banyak pengalaman, semakin bagus untuk menaik taraf seorang pekerja. Selain latihan dan taraf pendidikan, pengalaman juga adalah satu faktor penting untuk majikan menilai peningkatan kerjaya seperti gaji, pangkat dan sebagainya.

Dunia pekerjaan sekarang memerlukan pekerja mahir dalam kerja pelbagai (multi tasking). Sukar untuk jumpa syarikat yang memerlukan anda buat satu kerja sahaja.

Kerja yang banyak dan pelbagai sebenarnya memberi anda peluang menimba pengalaman dalam pelbagai lapangan.

Justeru, skop kerja yang diberikan haruslah tidak dalam satu perkara sahaja, kerana anda tidak akan dapat pengalaman yang sepatutnya untuk meningkatkan kerjaya dengan lebih baik.

Pengalaman adalah aset penting dalam resume untuk anda memohon kerja di tempat baru. Majikan baru pasti menyukai pekerja yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang tertentu.

#7. Elaun Lebih Masa

Jika ada elaun lebih masa (overtime), maka sangat berbaloi untuk anda terima tawaran kerja tersebut. Tidaklah buat kerja lebih masa dan hanya ‘beri’ sahaja kepada syarikat.

Bukan mengungkit atau tidak ikhlas buat kerja lebih masa tetapi biarlah berpada-pada. Andai kerja tamat jam 5.30 petang dan anda masih buat kerja sampai 6.00 petang masih boleh diterima.

Lain jadinya, apabila diminta pulang hanya selepas habis semua kerja. Kata pengurus, esok perlukan kerja tersebut. Lihat jam sudah pukul 10 malam.

Wajarkah begitu?

Oleh sebab itu elaun lebih masa sangat diperlukan untuk membayar masa kita kerana pada waktu tersebut kita mungkin sudah bersama keluarga. Masa berkualiti bersama keluarga sebenarnya tidak boleh dibeli dengan kerja lebih masa.

#8. Bonus

Prestasi syarikat akan menentukan adanya bonus atau tidak kepada pekerja. Tidak semua syarikat memiliki kelebihan memberi bonus. Andai syarikat anda ingin bekerja mempunyai kelebihan ini, sangat digalakkan untuk terima tawaran kerja tersebut.

Duit bonus adalah sangat istimewa kerana amaun yang bakal diterima luar biasa banyaknya. Bayangkan dapat bonus dua bulan gaji. Macam-macam boleh beli.

Moga perkongsian kami memberi idea berguna kepada siswazah atau bakal pekerja membuat pertimbangan tawaran kerja.

Nak tanya sikit, apa anda fikirkan sebelum terima tawaran kerja?

KHK


Kongsikan Bersama Rakan

8 Comments

    • MZ Ismail MZ Ismail 08/08/2017

      Betul tuan. Dua benda tu paling ramai orang fikirkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge