Apabila bekerja dalam satu tempoh tertentu dan berhadapan dengan tugasan yang banyak, kita akan mula terfikir untuk mencari kerja baru.
Bebanan di tempat kerja, masalah komunikasi antara pekerja dan ketua atau masalah keluarga antara punca-punca yang mendorong kita untuk berpindah daripada kerja sekarang kepada kerja baru.

Bagi anda yang berhasrat untuk berhenti kerja, kami mohon untuk membaca 3 sebab penting ini sebagai panduan sebelum membuat keputusan terakhir untuk berhenti kerja.
Ini untuk mengelakkan kita daripada membuat keputusan yang salah. Perlu difikirkan segala komitmen kewangan yang perlu dibayar seperti hutang, bil bulanan, nafkah dan kos sara hidup.
Jangan sampai tindakan kurang bijak kita mengundang masalah pada masa akan datang kepada keluarga.
Jom kita baca sebab-sebab penting di bawah. Kita boleh berhenti kerja jika:
1. Mendapat Tawaran Lebih Baik (Better Offer)
Esok perlu lebih baik daripada hari ini. Jika ini sebabnya, maka satu keputusan bijak untuk berhenti kerja di tempat lama. Tawaran kerja lebih baik semestinya datang dalam pakej tertentu seperti peningkatan gaji, jarak berdekatan dengan tempat tinggal atau kemudahan awam yang mudah.
Peningkatan gaji walaupun sekadar 30% daripada gaji di tempat lama adalah sangat baik. Namun, perlu dihitung dengan terperinci sebelum terima tawaran tempat kerja baru.
Pengiraan kasar boleh dibuat seperti di bawah:
TEMPAT KERJA SEKARANG
Gaji pokok: RM2,000
Bonus: 3 bulan gaji
Jumlah setahun:
= Gaji Bulanan + Bonus
= (12 bulan x RM2000) + (3 bulan x RM2000)
= RM30,000
TAWARAN TEMPAT KERJA BARU
Gaji pokok: RM2,600 (katakan peningkatan 30% dari tempat lama)
Bonus: 1 bulan gaji
Jumlah setahun:
= Gaji Bulanan + Bonus
= (12 bulan x RM2600) + (1 bulan x RM2600)
= RM33,800
Jika dilihat daripada kiraan kasar di atas, ada peningkatan kira-kira RM3,800. Satu jumlah yang cukup baik untuk menampung kos sara hidup lain atau dapat digunakan untuk simpanan kecemasan.
Ini cuma pengiraan kasar. Jika di tempat baru diberikan tambahan lain seperti elaun, gaji kerja lebih masa (overtime) dan faedah perubatan, maka tindakan bertukar tempat kerja memang berbaloi.
Jika diceritakan kepada rakan-rakan, pasti mereka secara spontan menjawab “Baik engkau pergi, rugi kalau tolak!“
2. Fokus Perniagaan Sepenuh Masa
Zaman sekarang dengan peningkatan kos sara hidup yang semakin tinggi, ramai mengambil langkah untuk buat dua kerja untuk tambah pendapatan.
Biasanya jika sudah bekerja dengan gaji tetap, pendapatan kedua datangnya dari perniagaan sambilan (part time business).
Kerja sambilan boleh dibuat secara offline atau online seperti menjual pakaian, produk kosmetik dan produk kesihatan di pejabat. Jualan dibuat di antara rakan-rakan pejabat. Boleh dikatakan antara rakan-rakan di pejabat saling menjual barangan tersendiri. Masing-masing ada produk dan servis untuk diniagakan.
Keputusan untuk berhenti kerja akan datang jika bisnes sambilan memberi pulangan lebih baik daripada gaji kerja tetap. Ada yang mendapat dua hingga tiga kali ganda hanya dengan membuat bisnes secara sambilan.

Juga disebabkan oleh kekangan masa untuk membahagikan tugasan kerja hakiki di pejabat dan juga bisnes part time.
3. Menjaga Ibu Bapa yang Kurang Sihat
Besar pahala seorang anak menjaga ibu bapa yang sakit. Tidak ternilai hikmah dan keberkatan yang bakal diperoleh. Kadang-kala bukan gaji beribu yang membuat kita cukup menampung hidup, tetapi doa dan kasih sayang ibu bapa yang sentiasa merestui semua pekerjaan kita.
Jika berhenti kerja dan menjaga ibu bapa di kampung, sebenarnya kita masih boleh teruskan hasrat untuk bekerja. Percayalah, walaupun pendapatan bekerja di kampung lebih kecil berbanding di bandar tetapi rasa cukup rezeki diterima ada kalanya lebih tinggi dari gaji di bandar.
Tak percaya? Cuba tanya sahabat-sahabat kita di kampung yang tinggal dan menjaga ibu bapa.
Bolehkah Teruskan Hasrat Berhenti Kerja?
Walaupun 3 sebab di atas sangat bagus untuk dipertimbangan, namun perbincangan dengan ahli keluarga (isteri dan ibubapa) amat penting. Bincang baik buruk bekerja di tempat baju dan lama.
Jika jawapannya adalah berpindah ke tempat baru, maka itu adalah keputusan terbaik untuk diri anda dan keluarga.
MZ Ismail
Tim SmartKerjaya.com
[…] Salah satu kelebihan WhatsApp adalah boleh mewujudkan group (kumpulan) yang dapat dianggotai sehingga 256 orang! Sangat ramai sehingga antara ahli group mungkin tidak mengenali sesama sendiri. Juga group ini akan kekal walaupun anda telah berhenti kerja daripada organisasi tersebut. […]
[…] Ini adalah bagi mewujudkan suasana kerja yang harmoni dan menyenangkan. Jangan sampai pekerja bertukar kerja ke tempat lain akibat tidak mampu mengurus tekanan yang […]
[…] borang berhenti kerja tersebut dan kepilkan bersama maklumat yang […]