Hujung bulan pun tiba. Sudah genap sebulan anda memulakan kerjaya dalam bidang yang diingini. Jadi, anda mungkin perlukan tips gaji pertama, bukan?
Masanya untuk gaji. Jadi menjadi tanggungjawab untuk menggunakan dengan bijak gaji pertama anda.
Selalunya perkara yang berlegar-legar dalam minda seorang pekerja baru adalah bagaimana hendak membelanjakan wang gaji itu. Lebih-lebih lagi bagi lepasan siswazah yang baru merasa gaji pertama.
Adalah normal bagi seseorang itu untuk bercita-cita membeli benda yang disukainya.
Ada yang berangan untuk melancong, ada yang ingin membeli gajet baru. Tidak kurang juga yang ingin menyimpan.
Namun awas! Pada saat ini anda masih belum boleh mengagak dengan baik jumlah perbelanjaan bulanan yang diperlukan.
Sekiranya anda boros anda jualah yang bakal menanggung akibatnya di kemudian hari.
Seharusnya bagaimana anda membelanjakan gaji anda yang pertama ini? Jom ikuti tips di bawah.
1. Belanja Diri Sendiri, Mengikut Kemampuan
Luangkan sedikit wang untuk belanja diri sendiri, kerana anda sememangnya layak. Penat lelah sebulan memberi sepenuh komitmen bermula dari hari pertama kerja perlu ada ganjaran walaupun kecil.
Jadikan ini suatu cara untuk meninggikan motivasi anda untuk hari-hari yang mendatang. Serta jadikan ini suatu insentif untuk anda berusaha lebih keras di masa hadapan.
Harus diingat yang ini bukan tiket untuk anda ‘joli katak’ dengan duit gaji tersebut. Ingat yang anda masih banyak perkara yang perlu dilangsaikan.
Duit yang diterima perlu digunakan dengan bijak dalam masa sebulan. 30 hari mendatang harus ada perancangan yang sangat teliti.
2. Belanja Ibu dan Ayah
Tidak lengkap rasanya tanpa berkongsi gaji tersebut dengan kedua orang tua anda.
Mereka insan mulia yang telah membanting tulang membesar dan mempersiapkan diri anda dengan ilmu sehinggalah anda berada pada tahap sekarang.
Jangan sesekali lupa serta memandang ringan akan pengorbanan mereka itu, sebaiknya berikan wang anda waima RM50 seorang pun sebulan.
Terkadang apa yang mereka pandang bukanlah nilai wang ringgit yang anda beri, sebaliknya tanda ingatan anda buat mereka. Jadikan ini suatu rutin bulanan anda tanpa culas.
Tidak akan susah hidup kita jika memberi bantuan kepada ibu bapa. Apabila mereka gembira dan berbangga dengan anak yang mengenang jasa, hasilnya hidup anda akan sentiasa dalam keberatan.
Rezeki diterima sentiasa rasa cukup walaupun tidak kaya-raya bak jutawan.
3. Simpanan Untuk Hari Tua
Sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Menyimpanlah di institusi yang sah dari sekarang.
Jadikan ini suatu rutin bulanan anda untuk memperuntukkan 30% dari gaji anda bagi tujuan simpanan.
Antara tempat popular dan menguntungkan seperti Tabung Haji, akaun Simpanan Tetap dan lain-lain lagi.
Jadikan ini sebagai rutin untuk menyimpan wang tersebut. Untuk mencapai matlamat ini anda perlu memiliki disiplin yang tinggi serta keazaman untuk menyimpan wang.
Semua ini boleh dicapai dengan niat yang betul. Simpan dahulu angan-angan anda untuk kemudian hari.
Beringat perkara lebih penting dengan menyimpan wang lebih awal untuk hidup lebih selesa pada masa akan datang.
4. Belanja Harian
Kebiasaannya gaji anda pada waktu ini tidaklah besar mana. Jadi elakkan daripada berbelanja sakan.
Beli barang yang perlu sahaja dan elakkan pembaziran. Cuba tetapkan 30% dari gaji anda untuk tujuan ini.
Salah satu cara menjimatkan belanja adalah dengan menyediakan makanan anda sendiri.
Mungkin anda perlu lebih usaha untuk menyiapkan itu dan ini tetapi hasilnya anda boleh berjimat waktu makan tengahari dan sarapan.
Jumlah penjimatan ini meskipun terlihat kecil namun sekiranya dilakukan berterusan pasti bertambah jumlahnya.
Jika berpeluang untuk naik gaji, tetapkan belanja seperti biasa supaya dapat digunakan lebihan gaji untuk simpanan.
5. Bayar Hutang
Baki dari gaji anda itu boleh disalurkan untuk membayar hutang pengajian. Umum mengetahui yang pinjaman tersebut ada menawarkan pelan pembayaran semula.
Antara perkara penting untuk tips membelanjakan gaji pertama adalah menyelesaikan hutang. Jika ada hutang, utamakan untuk membayar awal.
Dalam dunia sekarang, hutang adalah perkara normal untuk pekerja Malaysia. Mengikut statistik Cuepacs, 49,000 penjawat awam berdepan risiko muflis disebabkan oleh hutang.
Untuk elak muflis akibat tidak mampu membayar hutang, gaji anda perlu ada keutamaan untuk membayar hutang.

6. Bayar Sewa Rumah (jika ada)
Sudah menjadi adat seseorang itu terpaksa duduk menyewa, lebih-lebih lagi sewaktu baru memulakan kehidupan. Boleh dikatakan hampir semua lepasan mahasiswa akan melaluinya.
Sebetulnya sewa rumah masa kini agak tinggi dan boleh memakan majoriti gaji anda.
Untuk berjimat, berpakatlah dengan rakan-rakan universiti yang kerja berdekatan untuk duduk sekali. Mungkin kurang selesa tapi dengan cara ini sahaja anda boleh menjimatkan wang yang ada.
Sekiranya orang tua tinggal berdekatan lebih digalakkan untuk tinggal bersama mereka. Pada masa sama simpanlah duit sedikit untuk sewa rumah masa hadapan atau bila berkemampuan.
Kesimpulan
Subjek di atas adalah rangkuman kasar mengenai perkara yang boleh dilakukan dengan gaji pertama anda. Sila maklum yang ini hanyalah panduan secara umum.
Sekadar memberi sedikit idea mengenai gaji pertama anda. Ubahlah peruntukan itu mengikut citarasa dan kemampuan.
Membuat perancangan dengan tips gaji pertama ini dapat menyusun perjalanan wang anda. Elak stress di tempat kerja kerana belum hujung bulan gaji sudah tiada.
Akhir kata, tidak kira sebanyak manapun gaji anda asalkan ia dibelanjakan secara berhemat pasti akan cukup.
Begitu juga sebanyak manapun gaji anda sekiranya dibelanjakan secara berlebih-lebihan pasti tidak akan mencukupi.
Nak tanya sikit, apa anda buat sewaktu mula-mula terima gaji?
Artikel oleh: LH Suhaimi
Kredit gambar: waterstoneblog.com
Be First to Comment